2011-06-19

Rejabhad : Penghulu Komik Malaysia

Tidak lengkap ilmu kartun atau komik seseorang kartunis, pelukis dan pengkarya seni ilustrasi di Malaysia, jika tidak mengenali Pak Jab. Beliau juga dikenali dengan nama Rejabhad, gabungan nama beliau dan ayahnya, Rejab Bin Had.

23hb Ogos 1939 merupakan tarikh keramat lahirnya insan seni yang banyak menyumbangkan bakti kepada negara ini. Beliau pernah berkhidmat menjadi seorang askar. Karya beliau juga dikatakan pernah digunakan sebagai bahan untuk perang saraf melawan komunis. Satu kartun dalam bahasa Cina yang menggambarkan keadaan Tanah Melayu dan Komunis telah dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang lalu digugurkan cetakan kartun itu ke kawasan pendalaman untuk tatapan komunis.

Majalah Gelanggang Filem (keluaran Julai 1958) yang diterbitkan oleh P.Ramlee merupakan media pertama yang memaparkan karya Pak Jab. Beliau mula mencipta nama dengan kartun-kartunnya yang banyak memberikan inspirasi dan hiburan kepada masyarakat waktu itu. Falsafah dan mesej yang disampaikan mencuit hati pembaca tegar karya beliau.

Aku mula membaca karya beliau di dalam majalah Gila-Gila sewaktu masih di sekolah rendah dahulu. Di antara koleksi kartun beliau ialah Periwira Mat Gila (3 Jilid) , Tan Tin Tun, Mawar oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum Sedikit (2 jilid), Pisang Emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwira Mat Gila). Amal merupakan karya beliau yang terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, meninggal dunia pada 14hb November 2002, kerana sakit jantung. Al-Fatihah...

Perjuangan belum selesai, aku berharap agar satu hari nanti, ada karya komik anak tempatan dengan pengisian ke'Malaysia'an yang menjadi fenonema global. Bayangkan jika selalunya peminat ber'cosplay' dengan manga Jepun, selepas ini ber'cosplay' dengan watak dari kartun Malaysia... unik!

Sumber untuk bacaan lanjut berkaitan Raja Kartun Malaysia:-

0 ulasan pada :“ Rejabhad : Penghulu Komik Malaysia ”

Blog Widget by LinkWithin